“Mana Abang
jumpa ni?”
“Um, aaa dalam
kotak mama,”
“Kenapa
tiba-tiba Abang selongkar kotak mama?”
“Alaa...”
Mama menyoal
siasat aku selepas aku terkantoi membaca jurnal lamanya. Iya, buku merah jambu
yang aku jumpa tadi tu jurnal lama Mama. Kah!
____________
Aku sudah mula tertekan buat
Kerja Kursus ni. Subjek ni kebetulan subjek yang paling aku benci; Prinsip
Perakaunan. Aku benci betul nombor-nombor ni. Mungkin darah kira-kira tak
mengalir dalam badan aku. Mungkin aku bukan pencinta nombor yang setia. Mungkin
sebenarnya dah terlambat untuk aku merungut tentang semua ni. Patutnya aku
sedar lebih awal daripada sekarang ni dan dah boleh bergembira ambik aliran
sastera. Lagi-lagi bila dah sampai bahagian yang aku tak faham ni, memang parah
nak buat.
Letih juga aku selongkar kotak
buku-buku kakak ni. Nak ditanya, dah tidur. Mana diletaknya buku rujukan milik
dia dulu pun aku tak tahu. Aku membelek satu-persatu buku rujukan akaun milik
kakak, satu pun bukan yang aku mahukan. Aku beralih pada kotak ketiga. Kotak
ini kelihatan lain sikit, sepertinya ini bukan kotak buku kakak. Buku-buku yang
ada dalam kotak ini kelihatan seperti buku-buku lama, buku-buku zaman Mama.
Buku yang tak tersusun dalam kotak ini memudahkan aku untuk nampak buku mana
yang paling menyerlah, yang tak berpewatakan seperti Mama. Warna merah jambu
dan berkulit keras, ternyata rupanya buku ini milik Mama. Akronim yang ditulis
besar-besar dikulit buku terpampang; NYMY, singkatan nama Mama, Nur Yuzaimah
Mohd Yunus. Masalah yang ada sekarang ni, sebentar tadi aku rasa buku ni paling
menarik tapi aku baru selak halaman pertama, sudah mula membosankan. Halaman
pertama hanya terkandung senarai nama ahli Persatuan Bahasa Melayu yang Mama
hadiri sewaktu di maktab dahulu. Halaman seterusnya aku selak dan ternyata ada
yang lebih menarik berbanding senarai nama kawan-kawan Mama. Tulisan hasil
nukilan Mama.
Aku dibesarkan dengan cerita
teladan dan cerita kanak-kanak, dan tulisan Mama yang ada dalam buku ini
berkisar tentang cerita-cerita kanak-kanak yang masuk dengan jiwa aku. Aku
terus dan terus membaca. Ada puisi kanak-kanak, gambar lama Mama dan Ayah, juga
puisi cinta Mama buat Ayah. Aku sangat ralit membaca hingga Mama tiba-tiba
menepuk bahuku.
______________
“Abang, turun sarapan. Panggil
ayah sekali”, jerit Mama dari dapur. Aku baru melangkah keluar dari bilik dan
kebetulan Ayah juga sama. Hujung minggu ini hanya kami bertiga di rumah. Adik
menghadiri perkhemahan anjuran sekolah, manakala kakak sedang berada di kolej,
menghabiskan minggu-minggu terakhirnya sebagai pelajar diploma. Aku masih
terkontang-kanting memikirkan kerja kursus yang masih tersadai disebabkan aku
terjumpa buku merah jambu malam tadi.
“Dapat apa korek buku Mama
semalam?” Mama tanya dan aku hanya mampu menyengih serupa kerang busuk.
“Buku apa Ma?” tanya Ayah pada
Mama sambil menarik kerusi untuk duduk dan kedua-dua mereka sepertinya
memerlukan jawapan daripada aku.
Mama tenung aku. Ayah tenung
Mama. Aku tenung nasi goreng.
Aku berdehem dan menghulur pinggan
pada Mama.
“Ma, nak nasi goreng, please?” sambil tangan Mama juga
menghulur untuk menyambut pinggan aku. Kemudian aku menyambung,
“Abang terjumpa lah Ma, Ayah buku
tu. Bukan sengaja nak selongkar. Tengah cari buku kakak sebenarnya.
“Ha nak buat apa pula cari buku
Kakak?” dengan cepat Mama menanya.
Aku menjawab dengan laju kemudian
aku tertawa, “buku Akaunlah Ma!”
Mama menghulurkan pinggan berisi
nasi goreng yang masih panas sambil aku menuang air kopi ke dalam mug untuk
Ayah dan Mama.
“Buku Akaun untuk paperwork
yang latest ni ya?” tanya Ayah sebelum menghirup kopinya.
“Ha’ah, yah. Tapi bukunya tak
jumpa pun. Terjumpa buku lain pula,” aku tertawa kecil.
By,
Eclipse