Mar 4, 2016

my mother, a writer


“Mana Abang jumpa ni?”
“Um, aaa dalam kotak mama,”
“Kenapa tiba-tiba Abang selongkar kotak mama?”
“Alaa...”

Mama menyoal siasat aku selepas aku terkantoi membaca jurnal lamanya. Iya, buku merah jambu yang aku jumpa tadi tu jurnal lama Mama. Kah!

____________


Aku sudah mula tertekan buat Kerja Kursus ni. Subjek ni kebetulan subjek yang paling aku benci; Prinsip Perakaunan. Aku benci betul nombor-nombor ni. Mungkin darah kira-kira tak mengalir dalam badan aku. Mungkin aku bukan pencinta nombor yang setia. Mungkin sebenarnya dah terlambat untuk aku merungut tentang semua ni. Patutnya aku sedar lebih awal daripada sekarang ni dan dah boleh bergembira ambik aliran sastera. Lagi-lagi bila dah sampai bahagian yang aku tak faham ni, memang parah nak buat.

Letih juga aku selongkar kotak buku-buku kakak ni. Nak ditanya, dah tidur. Mana diletaknya buku rujukan milik dia dulu pun aku tak tahu. Aku membelek satu-persatu buku rujukan akaun milik kakak, satu pun bukan yang aku mahukan. Aku beralih pada kotak ketiga. Kotak ini kelihatan lain sikit, sepertinya ini bukan kotak buku kakak. Buku-buku yang ada dalam kotak ini kelihatan seperti buku-buku lama, buku-buku zaman Mama. Buku yang tak tersusun dalam kotak ini memudahkan aku untuk nampak buku mana yang paling menyerlah, yang tak berpewatakan seperti Mama. Warna merah jambu dan berkulit keras, ternyata rupanya buku ini milik Mama. Akronim yang ditulis besar-besar dikulit buku terpampang; NYMY, singkatan nama Mama, Nur Yuzaimah Mohd Yunus. Masalah yang ada sekarang ni, sebentar tadi aku rasa buku ni paling menarik tapi aku baru selak halaman pertama, sudah mula membosankan. Halaman pertama hanya terkandung senarai nama ahli Persatuan Bahasa Melayu yang Mama hadiri sewaktu di maktab dahulu. Halaman seterusnya aku selak dan ternyata ada yang lebih menarik berbanding senarai nama kawan-kawan Mama. Tulisan hasil nukilan Mama.

Aku dibesarkan dengan cerita teladan dan cerita kanak-kanak, dan tulisan Mama yang ada dalam buku ini berkisar tentang cerita-cerita kanak-kanak yang masuk dengan jiwa aku. Aku terus dan terus membaca. Ada puisi kanak-kanak, gambar lama Mama dan Ayah, juga puisi cinta Mama buat Ayah. Aku sangat ralit membaca hingga Mama tiba-tiba menepuk bahuku.

______________


“Abang, turun sarapan. Panggil ayah sekali”, jerit Mama dari dapur. Aku baru melangkah keluar dari bilik dan kebetulan Ayah juga sama. Hujung minggu ini hanya kami bertiga di rumah. Adik menghadiri perkhemahan anjuran sekolah, manakala kakak sedang berada di kolej, menghabiskan minggu-minggu terakhirnya sebagai pelajar diploma. Aku masih terkontang-kanting memikirkan kerja kursus yang masih tersadai disebabkan aku terjumpa buku merah jambu malam tadi.

“Dapat apa korek buku Mama semalam?” Mama tanya dan aku hanya mampu menyengih serupa kerang busuk.

“Buku apa Ma?” tanya Ayah pada Mama sambil menarik kerusi untuk duduk dan kedua-dua mereka sepertinya memerlukan jawapan daripada aku.

Mama tenung aku. Ayah tenung Mama. Aku tenung nasi goreng.

Aku berdehem dan menghulur pinggan pada Mama.

“Ma, nak nasi goreng, please?” sambil tangan Mama juga menghulur untuk menyambut pinggan aku. Kemudian aku menyambung,

“Abang terjumpa lah Ma, Ayah buku tu. Bukan sengaja nak selongkar. Tengah cari buku kakak sebenarnya.

“Ha nak buat apa pula cari buku Kakak?” dengan cepat Mama menanya.

Aku menjawab dengan laju kemudian aku tertawa, “buku Akaunlah Ma!”
Mama menghulurkan pinggan berisi nasi goreng yang masih panas sambil aku menuang air kopi ke dalam mug untuk Ayah dan Mama.

“Buku Akaun untuk paperwork yang latest ni ya?” tanya Ayah sebelum menghirup kopinya.

“Ha’ah, yah. Tapi bukunya tak jumpa pun. Terjumpa buku lain pula,” aku tertawa kecil.



By,

Eclipse